LONDON: Chelsea menandatangani pemenang Piala Dunia, Enzo Fernandez dari Benfica dengan rekod British, 121 juta euro (RM560.69 juta) umum kelab Portugal itu sebentar tadi.
Pemain tengah berusia 22 tahun itu dinamakan Pemain Muda Terbaik Piala Dunia dalam kempen cemerlang bersama Argentina di Qatar.
Yuran sebanyak £106.8 juta itu melebihi rekod sebelumnya, £100 juta (RM525.19 juta) yang dibayar Manchester City kepada Aston Villa bagi mendapatkan Jack Grealish pada 2021.
Fernandez baharu menyertai kelab Portugal itu pada Julai tahun lalu dengan yuran dilaporkan bernilai sekitar £10 juta (RM52.52 juta).
Dia menandatangani perjanjian lapan tahun setengah hingga 2031.
Konsortium Todd Boehly sudah mengeluarkan ratusan juta sejak membeli Chelsea pada penamat musim lalu dengan harapan wang berkenaan dapat mengangkat mereka daripada kedudukan ke-10 Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika ini. – AFP
Source: bharian.com.my